PETALING JAYA: Penglibatan individu berpengalaman dalam sukan polo dilihat penting bagi memastikan ilmu, tradisi dan semangat kesukanan itu tidak terputus, sebaliknya terus diwarisi generasi baharu di Pahang.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, pengalaman yang dikumpul tokoh polo sepanjang puluhan tahun bukan sahaja bernilai dari aspek pertandingan, malah menjadi sumber pengetahuan kepada pemain muda yang ingin membina masa depan dalam sukan berkenaan.
Katanya, kesinambungan polo tidak boleh bergantung kepada pertandingan semata-mata, sebaliknya memerlukan golongan berpengalaman untuk membimbing generasi baharu dalam aspek disiplin, teknik, pengurusan permainan dan nilai kesukanan.








