WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) menghantar kira-kira 9,000 anggota tentera menaiki beberapa kapal perang ke Asia Barat, menurut seorang pegawai AS.

Kumpulan kapal yang sedang menuju ke Asia Barat itu membawa lebih 7,000 kelasi dan 2,000 anggota Kor Marin AS.

Ia termasuk kumpulan kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt yang baru dikerahkan bersama kapal penjelajah USS Chosin, serta kumpulan kapal serangan amfibia USS Makin Island yang merangkumi kapal pendarat amfibia USS John P. Murtha dan USS Anchorage.

Peningkatan kehadiran tentera AS itu berlaku ketika Presiden, Donald Trump sekali lagi memberi amaran serangan baharu terhadap Iran mungkin berlaku.

Pergerakan itu boleh menyebabkan tiga kapal pengangkut pesawat AS berada di rantau berkenaan seawal penghujung Oktober, menurut pegawai AS yang bercakap kepada AP dengan syarat namanya dirahsiakan kerana membincangkan operasi ketenteraan sensitif.