PETALING JAYA: Penantian peminat untuk menyaksikan kumpulan rock, Spider mempersembahkan lagu berhantu, Relaku Pujuk, akhirnya terlerai apabila lagu ikonik itu dijadikan persembahan penutup Konsert Spideraya di Idea Live Arena, di sini, Sabtu lalu.
Selepas tiga dekad mengikuti perjalanan seni kumpulan berkenaan, hampir 5,000 peminat jelas enggan berkompromi apabila lampu dewan dimalapkan sekitar jam 11.30 malam, seolah-olah menandakan konsert sudah berakhir.
Jeritan peminat yang meminta Spider kembali ke pentas akhirnya disambut vokalisnya, Tam yang muncul sebelum mengakhiri persembahan dengan Relaku Pujuk.
Lebih mencuri perhatian, Tam menyampaikan lagu berkenaan dalam keadaan berbaring di atas pentas, sekali gus mengundang sorakan gemuruh penonton.






