PETALING JAYA: Pelakon, Azhan Rani mengakui dirinya sudah lama memasang niat untuk menghadiahkan adiknya, Sahrul Nizam Abdul Rani, 47, sebuah kereta sebagai tanda penghargaan menjaga ibunya, Salmah Budin.
Menurut Azhan, dia berasa lega apabila hasrat yang dipendam sejak arwah bapanya meninggal dunia akhirnya membuahkan hasil selepas bertahun-tahun menabung.
“Sebenarnya sudah lama saya berniat nak buat perkara ini. Bukan apabila dapat duit, terus boleh beli. Saya memang sudah lama mengumpul, sejak arwah bapa masih ada lagi.
“Saya memang berniat nak hadiahkan kepadanya, tetapi ketika itu keadaan ekonomi tidak begitu baik dan saya belum mampu. Jadi, saya kumpul sedikit demi sedikit dan akhirnya, alhamdulillah, dapat juga belikan untuk dia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.








