Seorang penyelidik dasar kesihatan berkata Belanjawan 2027 sepatutnya memberikan penekanan lebih besar kepada pencegahan penyakit kronik melalui pendidikan dan program yang menggalakkan perubahan tingkah laku. (Gambar Rawpixel)PETALING JAYA: Tawaran kerajaan untuk menambah jawatan tetap bagi doktor kontrak perlu disertai langkah meningkatkan pengekalan mereka dalam sistem kesihatan awam, kata seorang penyelidik kesihatan awam.

Ilyana Mukhriz, pegawai penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), berkata pelantikan tetap sahaja tidak akan menyelesaikan cabaran mengekalkan doktor dalam sistem kesihatan awam, meskipun ia merupakan langkah penting untuk meningkatkan jaminan pekerjaan.

“Peruntukan belanjawan sahaja tidak dapat menyelesaikan semua masalah. Namun, langkah seterusnya perlu memastikan doktor mempunyai keadaan kerja yang baik, komunikasi yang jelas mengenai peluang perkembangan kerjaya, jawatan kanan tetap yang lebih mencukupi menerusi pewujudan jawatan berdasarkan kluster dan merit, serta imbuhan yang adil,” katanya kepada FMT.