Sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan indeks pencemar udara pada tahap tidak sihat setakat pagi tadi, termasuk Batu Muda dan Cheras dengan bacaan 169 dan 175, manakala Putrajaya 167. (Gambar Bernama)KUALA LUMPUR: Sebanyak 33 kawasan mencatatkan bacaan indeks pencemar udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 10 pagi ini dengan Batu Pahat, Johor merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 190.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan lain di Johor yang turut mencatatkan IPU tidak sihat ialah Tangkak (186), Larkin (185), Pasir Gudang (184), Segamat (181), Kluang (177), Kota Tinggi (172), Pengerang (169).

Di Negeri Sembilan, kawasan terjejas ialah Seremban (183), Nilai (179) dan Port Dickson (164), manakala di Melaka tiga kawasan yang terjejas, iaitu Bukit Rambai (175), Bandaraya Melaka (173) dan Alor Gajah (173).