JAKARTA: Indonesia akan mempercepat pindaan undang-undang berkaitan dadah bagi mengurangkan kesesakan teruk di penjara dengan memberi tumpuan kepada pemulihan, kata seorang pegawai kanan negara itu.
"Hari ini, kita mengambil langkah sistematik. Kami membuat kesimpulan bahawa pindaan terhadap undang-undang sedia ada berkaitan Narkotik dan Psikotropik perlu disegerakan," kata Menteri Penyelaras, Yusril Ihza Mahendra, semalam selepas mesyuarat antara kementerian.
Beliau berkata, pindaan yang dicadangkan itu akan membezakan dengan terperinci antara pengguna dadah dan pengedar.
Langkah itu selaras dengan arahan Presiden, Prabowo Subianto supaya mangsa penyalahgunaan dadah menjalani pemulihan dan bukannya berdepan pendakwaan jenayah.








