KUALA LUMPUR: Isu berkaitan pelarian perlu terus diberi ruang dalam laporan media, termasuk membincangkan kebimbangan awam yang sah berkaitan dasar, penguatkuasaan, perkhidmatan awam dan kesan terhadap masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood, berkata bagaimanapun keputusan editorial dan tindakan berkongsi kandungan yang boleh membentuk pemahaman masyarakat, khususnya apabila maklumat bergerak dengan pantas merentasi pelbagai platform juga perlu diteliti.
Katanya, laporan mengenai isu berkenaan bukanlah bertujuan menghalang maklumat atau perbahasan mengenai isu yang sukar, sebaliknya bagi menyokong pelaporan dan komunikasi dalam talian yang tepat, mempunyai konteks serta bertanggungjawab.






