TAMPARULI: Dua wanita dari Semenanjung berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberang jambatan low level crossing Tamparuli, malam tadi.
Dalam kejadian 7 malam itu, mereka dalam perjalanan pulang ke Kota Kinabalu selepas selesai mendaki Gunung Kinabalu.
Pemandu terbabit yang tidak mahir dengan laluan berkenaan hanya bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi ketika cuaca buruk, paras air kian meningkat dan keadaan semakin gelap hingga menyebabkan kenderaan itu terapung.
Difahamkan, dua wanita terbabit bernasib baik, apabila orang awam bertindak pantas dengan menarik keluar mangsa itu ke tempat selamat.
Bagaimanapun, beberapa barang peribadi serta dokumen pengenalan diri hilang apabila kereta berkenaan tenggelam.






