NAGOYA: Pasukan skuasy wanita negara berdepan detik cemas selepas kekalahan S Sivasangari dalam perlawanan kedua, namun kecemerlangan Aira Azman memastikan Malaysia menewaskan Hong Kong 2-1 untuk mempertahankan pingat emas acara berpasukan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi.
Kejayaan di Arena Nagoya Kinjo Futo itu menyaksikan skuad negara menyumbang pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini, selain mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi Hangzhou 2022 selepas menewaskan lawan sama 2-1 pada aksi final.
Aifa Azman terlebih dahulu menyumbang mata pertama buat Malaysia apabila menewaskan Ho Tze Lok 11-9, 11-9, 12-10.
Bagaimanapun, Sivasangari yang juga pemain nombor lima dunia gagal meneruskan momentum apabila tewas kepada Chan Sin Yuk 7-11, 11-9, 11-9, 5-11, 7-11, sekali gus menyaksikan kedudukan terikat 1-1.






