BAGI kebanyakan umat Islam, mengerjakan haji adalah cita-cita disemai sejak kecil, dipupuk sepanjang hidup dan diterjemahkan menerusi perancangan bertahun-tahun lamanya.
Namun, dalam keadaan kuota haji terbatas, kos terus meningkat dan jumlah bakal haji berdaftar semakin bertambah, persoalan siapa wajar didahulukan tidak lagi dapat ditentukan berdasarkan hasrat semata-mata.
Dalam Islam, kewajipan haji tidak hanya bersandarkan keinginan, tetapi juga kemampuan atau istito'ah. Prinsip ini mengingatkan haji bukan sekadar gagasan kerohanian, tetapi ibadah menuntut kesiapsiagaan dari segi kewangan, fizikal dan tanggungjawab terhadap keluarga.
Justeru, apabila sistem pengurusan haji menentukan siapa diberikan peluang untuk berangkat terlebih dahulu, persoalan wajar dikemukakan ialah sejauh mana sistem ini memenuhi prinsip istito'ah.






