BANDUNG: Kelibat pemain sayap negara Faisal Halim yang terpaksa menggunakan tongkat dan pendakap pada kaki kanannya ketika berada di Stadium Si Jalak Harupat, semalam, mencetuskan perhatian penyokong sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan tonggak Harimau Malaya itu.

Faisal yang sebelum ini mengalami kecederaan ketika membantu Malaysia menentang Indonesia kelihatan perlu mendapatkan bantuan tongkat untuk bergerak, manakala kaki kanannya turut dipasang pendakap ketika menyaksikan aksi Harimau Malaya berdepan Singapura.

Keadaan itu memberi gambaran jelas bahawa kecederaan dialami pemain sayap berkenaan bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan, malah pengendali sementara Harimau Malaya, Cheng Hoe mengakui pasukan turut merindui kehadiran Faisal di atas padang.