KOTA TINGGI - Seorang ibu tunggal dan buruh kasar masing-masing didenda RM3,000 serta RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Pengerang di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan menggadaikan gelang emas palsu.Tertuduh, Jameah Ibrahim, 48, didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda, manakala Yussuf Harun, 62, didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.Mengikut pertuduhan, Jameah didakwa memperdaya pemilik sebuah kedai pajak gadai dengan mendakwa seutas gelang tangan seberat 23 gram yang digadaikannya ialah emas tulen namun barang kemas tersebut palsu.Perbuatan berkenaan dilakukan dengan niat mendapatkan wang RM8,000 di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang di sini kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 29 September lalu.Dia dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun setengah atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Sementara itu, Yussuf didakwa memperdaya individu dan kedai sama dengan menggadaikan seutas gelang tangan emas seberat 9.2 gram, sedangkan barang kemas itu palsu bagi mendapatkan wang RM3,000, pada jam 3.10 petang, 14 September lalu.Bagi kesalahan itu, Yussuf dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.