KOTA TINGGI: Seorang buruh kasar dan seorang ibu tunggal didenda RM4,000 dan RM3,000 masing-masing Mahkamah Majistret Pengerang, di sini, hari ini kerana memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan emas palsu, Selasa lalu.
Tertuduh, Yussuf Harun, 62, didenda RM4,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda, manakala Jameah Ibrahim, 48, didenda RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman itu selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Mengikut kertas, Jameah didakwa memperdaya pemilik kedai pajak gadai dengan mendakwa seutas gelang tangan seberat 23 gram yang digadaikan adalah emas tulen, sedangkan barang kemas itu sebenarnya palsu bagi mendapatkan wang RM8,000 di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Rengit, Pengerang, Kota Tinggi, pada pukul 12.46 tengah hari, 29 September lalu.








