Kuala Lumpur: Pelaksanaan gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, pendaftaran pelarian Myanmar menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dan langkah menangani krisis kemanusiaan di Gaza adalah antara isu yang dijadualkan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di portal rasmi Parlimen, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT), Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta Menteri Ekonomi menjelaskan mekanisme kerajaan bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum itu tidak menyebabkan pengurangan pekerja, kenaikan harga barangan atau peningkatan kos operasi perusahaan kecil.

Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pula meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sasaran pendaftaran pelarian Myanmar dalam tempoh dua tahun menerusi Program DPP, termasuk jumlah yang disasarkan dan garis masa pelaksanaannya.