RAUB: Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang anggota polis berpangkat koperaldi Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong, dekat sini pada 25 September lalu.
Bagaimanapun tiada pertuduhan dibacakan terhadap Ai Kyaw Lin Tun, 30, dan Ai Lin, 26 di hadapan Hakim Siti Hajar Mustaffa ekoran mereka tidak faham bahasa Melayu. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wong Zhi Qian dan Hardave Singh Baldeb Singh manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret di sini, kedua-dua warga Myanmar itu turut berdepan pertuduhan ketiadaan dokumen perjalanan yang sah serta memandu motosikal tanpa lesen.








