KUALA LUMPUR: Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) menarik 4,200 pengunjung terdiri daripada pengunjung dagangan, penerbit, rakan teknologi dan pembeli global sepanjang penyertaan empat hari di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) ke-22, 2026 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), di sini.

Penyertaan itu mengetengahkan usaha memperluas akses pembacaan inklusif dan perdagangan digital menerusi dua penyelesaian utama, iaitu My Assistive Technology Access (M.A.T.A.), komputer riba Braille 24-sel untuk pengguna kurang upaya penglihatan dan Book Capital White Label, platform e-dagang yang boleh disesuaikan mengikut keperluan organisasi.

Kota Buku turut menarik minat pembeli antarabangsa terhadap platform digital, hak cipta kandungan serta penyelesaian literasi dan kebolehcapaian yang dibangunkan di Malaysia.