Pegawai penyiasat Wong Yew Zhung berkata Noraidah Lamat berkeras tidak mahu proses bedah siasat kerana hendak mengebumikan jenazah Zara Qairina Mahathir dengan segera. (Gambar Bernama) KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu ibu Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat tidak mahu dan enggan proses bedah siasat dijalankan ke atas anaknya walaupun sudah dimaklumkan serta dijelaskan berhubung perkara itu.

Pegawai penyiasat, Wong Yew Zhung, berkata beliau memaklumkan dan menjelaskan kepada Noraidah, 46, bahawa bedah siasat akan dijalankan bagi membantu siasatan kes kematian Zara ketika berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Saksi ke-83 dalam prosiding inkues kematian remaja itu menjelaskan sekali lagi kepada Noraidah berhubung proses bedah siasat, namun wanita itu berkeras menjawab: "Tidak mahu. Saya mahu kebumikan dia (Zara) dengan segera.”