KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir enggan membenarkan pemeriksaan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah anaknya, walaupun selepas menerima penjelasan polis.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung, berkata beliau bertemu Noraidah Lamat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada 17 Julai 2025, selepas Zara, 13, disahkan meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari.

Saksi ke-83 itu berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada Dr Pavankumar Balachandran pada jam kira-kira 1.35 tengah hari, yang memaklumkan Zara meninggal dunia akibat "kecederaan otak traumatik teruk dengan hypoxic ischemic encephalopathy.

Hypoxic ischemic encephalopathy adalah kerosakan atau gangguan fungsi otak yang berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen dan penurunan aliran darah ke otak secara signifikan.