KUALA LUMPUR: Apex Securities Bhd menjangkakan 2027 akan menjadi tahun pelaksanaan projek dan bukannya pengumuman baharu bagi sektor pembinaan, dengan pemangkin harga saham dalam tempoh terdekat sebahagian besarnya tidak bergantung kepada pembentangan Belanjawan 2027.
Dalam nota semalam, firma penyelidikan itu memaklumkan penganugerahan kontrak utama awam Civil Main Contract 2 (CMC2), yang membabitkan pakej menghubungkan Macallum di Pulau Pinang dengan Penang Sentral di Butterworth, dijangka pada November.
Penganugerahan CMC2 dan pemuktamadan Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART) menjelang akhir 2026 dijangka berlaku sejurus selepas pembentangan Belanjawan 2027.
Ini bermakna, belanjawan itu sendiri mungkin hanya memberikan ulasan yang menyokong sektor berkenaan, manakala perkembangan kontrak sebenar dijangka direalisasikan dalam minggu-minggu berikutnya.






