ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 12 ekor ikan paus pembunuh ditemukan mati selepas terdampar ketika keadaan laut bergelora di sepanjang pantai Pulau Utara New Zealand, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Radio New Zealand pada Jumaat.
Pegawai pemuliharaan Joel Lauterbach berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian 15 ekor ikan paus pembunuh pigmi yang terdampar pada Khamis sebelum beliau bersama sukarelawan melancarkan operasi menyelamat di Pantai Ninety Mile di Daerah Far North.
Ikan paus berkenaan terdampar secara berselerak di sepanjang beberapa kilometer pantai itu, namun keadaan laut yang bergelora, selain pasang surut, ombak dan hari yang semakin gelap menyukarkan usaha menyelamat.
"Keadaan hari ini masih mencabar," kata Lauterbach ketika proses menanam bangkai ikan paus berkenaan sedang dijalankan.






