PETALING JAYA: Datuk Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat emas kelapan Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas memecut pada saat akhir untuk menewaskan pelumba China, Li Zhiwei dalam aksi keirin lelaki yang cukup mendebarkan, hari ini.

Azizulhasni yang menampilkan kayuhan penuh berdisiplin terpaksa menunggu sehingga pusingan terakhir sebelum melancarkan pecutan bertenaga untuk melintasi garisan penamat terlebih dahulu dengan catatan 10.330 saat.

Namun, kemenangan itu hadir dengan perbezaan cukup tipis apabila Zhiwei hanya ketinggalan 0.018 saat selepas merekodkan 10.348s untuk meraih pingat perak.

Seorang lagi pelumba China, Xie Han melengkapkan podium dengan gangsa menerusi catatan 10.547s, manakala pelumba Jepun, Minato Nakaishi di tempat keempat dengan 10.597s.