NAGOYA: Kontinjen Malaysia mengintai peluang melakar pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan negara pada Sukan Asia apabila memburu sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas sebelum temasya Aichi-Nagoya 2026 melabuhkan tirainya, Ahad ini.
Setakat ini, kontinjen negara mengumpul sembilan emas, sekali gus menyamai pencapaian terbaik Malaysia pada edisi 2010 di Guangzhou.
Malaysia kini berpeluang memperbaharui rekod berkenaan menerusi skuad hoki lelaki dan beregu lelaki padel, Christian Didier Chin-Aidan Yunus, yang masing-masing akan beraksi pada final esok.
Skuad hoki lelaki negara dijadual menentang India di Stadium Gifu, manakala Christian-Aidan akan berdepan pemenang antara pasangan pilihan utama Qatar, Mashari Naif-Rashed Naif, atau pilihan keempat dari Iran, Hami Golestan-Arya Roghani.






