KUCHING: Penambahan perwakilan Parlimen Sabah dan Sarawak bagi mengembalikan nisbah satu pertiga kerusi Dewan Rakyat seperti ketika pembentukan Malaysia pada 1963 secara prinsipnya mendapat persetujuan Jemaah Menteri Persekutuan, namun formula dan jumlah kerusi tambahan masih belum dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata perkara itu antara isu tertunggak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) pada 11 September lalu di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu meneliti kemajuan pelaksanaan perkara tertunggak MA63, termasuk usaha meningkatkan kadar perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.