PETALING JAYA: Pelaburan dalam pembangunan profesional, kesejahteraan dan pengiktirafan guru dilihat sebagai antara strategi penting untuk memperkukuh pertumbuhan industri pendidikan awal kanak-kanak, selain meningkatkan hasil pembelajaran dan keyakinan ibu bapa.

Perkara itu menjadi antara fokus Anugerah Bintang Pendidikan Malaysia (MESA) 2026 menerusi forum industri bertajuk "Melabur kepada Guru, Pacu Pertumbuhan Industri: Mengapa Kualiti dan Kesejahteraan Guru Penting untuk Masa Depan Pendidikan Awal Kanak-kanak".

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan, Lim Irene, berkata guru menjadi tunjang pendidikan awal kerana memainkan peranan penting membentuk perkembangan kanak-kanak pada tahun-tahun paling kritikal kehidupan mereka.