KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan kekasaran membabitkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain terhadap penjawat awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dipercayai sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.
"Terkait isu tular membabitkan Ketua Pengarah AKPS, pihak JPA belum menerima laporan sehingga kini.
"Saya percaya KDN yang juga kementerian yang bertanggungjawab mengendalikan AKPS sedang menjalankan siasatan.
"Justeru itu, kita perlu tunggu kerana saya tidak boleh menyatakan apa yang betul atau salah tanpa ada fakta-fakta yang jelas," katanya ketika ditemui pada Program Santuni Pesara, di sini hari ini.






