Tertuduh dalam kes pembunuhan T Nhaveen pada pendengaran di mahkamah sebelum ini.GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa terdapat empat alasan utama bagi pihak pendakwaan memohon supaya empat tertuduh dalam kes pembunuhan remaja, T Nhaveen, sembilan tahun lepas disabitkan kesalahan, dengan mendakwa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya Amril Johari berkata antara alasan itu ialah percanggahan antara versi pembelaan ketika kes pihak pendakwaan dengan keterangan tertuduh pada peringkat membela diri pada minggu lepas.

Beliau berkata pembelaan kempat-empat tertuduh berubah apabila mereka memberi keterangan sendiri, khususnya berhubung dakwaan seorang daripada mereka, yang merupakan remaja ketika kejadian, dipukul menggunakan topi keledar sehingga pengsan oleh T Previin (rakan Nhaveen), ketika cuba meleraikan pergaduhan.