KUALA LUMPUR: Zetrix AI Bhd berpotensi melanggar syarat perjanjian di bawah Program Sukuk Wakalah susulan pengurangan ketara pegangan saham Wong Thean Soon semalam, sekali gus menyebabkan beliau bukan lagi pemegang saham terbesar syarikat itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata jumlah pegangan saham langsung dan tidak langsung Wong, yang juga Pengasas Bersama syarikat berkenaan, susut kepada 1.895 peratus setakat semalam.
"Sehubungan itu, syarikat berpotensi melanggar syarat perjanjian di bawah Program Sukuk Wakalah, yang mewajibkan Wong kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
"Menurut terma Program Sukuk Wakalah, syarikat dikehendaki memperbetulkan pelanggaran itu dalam tempoh tujuh hari selepas menyedari kegagalan memenuhi syarat berkenaan," menurut Zetrix AI.








