MELAKA: Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan senarai calon serta gabungan parti yang akan bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 28 Oktober ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengumuman berkenaan akan dibuat pada tarikh tersebut iaitu tiga hari sebelum penamaan calon manakala lokasi pengumuman akan dimaklumkan kemudian.

“Kami akan umumkan pada 28 hari bulan. Tempatnya nanti saya beritahu. Gabungan dengan semuanya akan dimaklumkan pada 28 hari bulan. Antara kejutannya, biarlah kita sebut kejutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Tangga Batu di Command Center P.136 di Bandar Baru Sungai Udang di sini malam semalam.