DUYONG : Hilang kepercayaan terhadap hala tuju dan kepimpinan parti, Ketua Armada BERSATU Melaka, Muhammad Jefri Safry, mengambil keputusan meninggalkan BERSATU untuk menyertai Parti Wawasan Negara (WAWASAN).

Jefri yang juga Ketua BERSATU Bahagian Jasin, dikenali sebagai Dak Jep, berkata, keputusan itu dibuat kerana pendiriannya tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan parti, khususnya berhubung desas-desus kemungkinan kerjasama politik antara BERSATU dan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, perjuangan politik seharusnya berteraskan prinsip, keikhlasan dan kepentingan rakyat, bukannya semata-mata percaturan kuasa atau kepentingan politik tertentu.

Beliau berkata, penyertaan dalam WAWASAN membuka ruang baharu untuk meneruskan perjuangan yang memberi penekanan kepada penyatuan ummah, perpaduan masyarakat dan pembelaan nasib rakyat.