SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melihat dengan penuh kebimbangan penganjuran acara `Malam Seribu Bintang’ di Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.
Penganjuran majlis yang berteraskan hiburan berlebihan di dalam menara gading adalah satu perkembangan yang amat mendukacitakan dan mencalarkan imej universiti sebagai pusat kecemerlangan akademik bumiputera.
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Dr. Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pada saat anak muda kita hari ini sedang bergelut dengan pelbagai ancaman krisis identiti dan kerosakan gejala sosial yang semakin membarah di luar sana, institusi pengajian tinggi sepatutnya memainkan peranan untuk memandu dan menyelamatkan mereka.








