Johor Bahru: Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menuntut barisan pemainnya tampil lebih bertenaga pada pertembungan menentang Jepun dalam aksi kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini, malam esok.

Pengendali skuad yang bergelar Young Tigers itu berkata, momentum kemenangan 3-0 ke atas China, baru-baru harus dikekalkan seandainya mengidam untuk menamatkan saingan SOJC di kelompok tiga terbaik kerana jika seri atau tewas segalanya tampak sukar bagi memburu podium.

"Secara keseluruhan, saya puas hati dengan aksi pemain ketika menewaskan China dan berjaya meraih tiga mata. Namun, apa yang membuatkan saya kurang berpuas hati adalah kita melepaskan begitu banyak peluang untuk menjaringkan gol.