Adun Pending, Violet Yong, diarah keluar dewan pagi tadi kerana enggan tarik balik gelaran 'pengecut politik' yang dilempar kepada menteri pengangkutan Sarawak.PETALING JAYA: Adun Pending daripada DAP, Violet Yong, diarah keluar DUN Sarawak hari ini, menyebabkan tiada seorang wakil pembangkang di dalam dewan.
Yong berkata beliau hanya dilarang menghadiri sidang selama sehari dan akan kembali untuk hari terakhir sesi persidangan kali ini esok, lapor Borneo Post.
Setiausaha DAP Sarawak itu diperintahkan meninggalkan dewan pagi tadi selepas enggan menarik balik kenyataan pada Isnin, yang menggambarkan Menteri Pengangkutan Sarawak, Lee Kim Shin, sebagai 'pengecut politik'.
Speaker Asfia Awang Nassar hari ini memutuskan bahawa kenyataan tersebut adalah 'tidak berparlimen' dan 'menghina', serta memerintahkan agar ia dipadamkan daripada hansard selepas Lee membuat aduan bahawa Yong telah melemparkan kata-kata kesat terhadapnya.






