JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan layak ke pentas final selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam aksi penuh debaran pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 (B-21) Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) edisi ke-14 di Stadium Hoki Johor, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiriddun memintas Pakistan untuk berada di tangga teratas dan aksi terakhir berdepan Kanada, Jumaat ini, Young Tigers perlu menang untuk kekal di kedudukan itu.
Pada aksi sebentar tadi, Young Tigers merobek gawang anak didik Sameer Hussain pada minit ke-21 selepas bola tolakan Adam Asyraf Johari berjaya dikawal T Naaveennash Panicker dan memperdaya penjaga gol, Ahsan Mahmood sebelum melakukan pukulan kilas ke penjuru kanan gol.









