BESUT: Hakisan pantai di Kampung Pachakan di sini, yang semakin serius sejak enam tahun lalu memaksa seorang peniaga celup tepung membina semula kedainya, kira-kira 20 meter dari lokasi asal bagi mengelak kerugian lebih besar.

Zulkifli Deraman, 54, berkata, kedai bermodalkan kira-kira RM7,000 itu kini berdepan ancaman ombak besar terutama menjelang Monsun Timur Laut (MTL) yang lazimnya membawa angin kencang dan laut bergelora.

Katanya, hakisan semakin buruk sehingga kedai lamanya runtuh memaksanya membina kedai baharu selepas musim tengkujuh pada awal 2025.

“Tahun lepas, di bahagian depan kedai ini masih boleh meletakkan kenderaan dan jarak pantainya masih jauh tetapi kini laluan itu sudah tenggelam akibat hakisan pantai.