Penganalisis menjangkakan perebutan sengit antara Bersatu dan PAS untuk jenama 'Perikatan Nasional'.PETALING JAYA: Bersatu akan sukar mengulangi pencapaian Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lalu tanpa PAS, sekalipun dengan gagasan dan hala tuju baharu serta komposisi majmuk, menurut penganalisis.
Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata selama ini 'Perikatan Nasional' adalah jenama yang disokong kekuatan akar umbi dan jentera PAS, serta pengaruh pemimpin parti itu.
"Jenama PN mungkin boleh dihidupkan semula, tetapi kekuatan politik yang dibina bersama PAS tidak semestinya dapat diwarisi secara automatik," katanya kepada FMT.
Tawfik mengulas kenyataan pengasas bersama Bersatu, Redzuan Yusof, yang tidak menolak kemungkinan Bersatu mengambil inisiatif untuk membentuk semula 'Perikatan Nasional' menerusi Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), yang menurutnya berpotensi dijenamakan semula sebagai PN.







