KUALA LUMPUR: Majlis Peguam sepatutnya membela dan mempertahan peguam yang diserang secara tidak adil di media sosial susulan kes membabitkan dua anggota polis dengan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata ketika ini, peguam berkenaan, Kamal Hisham Jaafar, sedang menjalankan tugasnya memberi khidmat guaman kepada dua anggota berkenaan.
"Sedangkan orang dituduh membunuh, menculik, mengedar dadah dan pelbagai kesalahan besar jenayah dengan hukuman mati sekalipun, berhak mendapatkan khidmat peguam.
"Begitulah juga dua anggota polis SB (Cawangan Khas) yang juga penjawat awam berhak mendapat khidmat peguam, Kamal Hisham, yang menolong mereka secara pro bono atau percuma.










