PEKAN: Industri padi dan beras tempatan kini berdepan tekanan kritikal apabila rantaian bekalan daripada peringkat hulu hingga ke hilir terhimpit akibat jurang harga yang tidak seimbang, sekali gus mengancam kelangsungan hidup petani serta daya tahan pengusaha kilang.
Pengurus Operasi Syarikat Kilang Beras Melayu Jati, Mujahid Che Hamid berkata, harga beras di pasaran borong RM2,300 satu tan metrik tidak lagi mampu menampung kos pengeluaran yang mencecah RM2,500 bagi kuantiti sama.
Katanya, kerugian RM200 bagi setiap tan metrik itu belum mengambil kira kos kendalian kilang, sekali gus meletakkan pengusaha tempatan dalam keadaan semakin terhimpit.
“Kadar perolehan sebenar beras daripada pemprosesan padi hanya sekitar 60 peratus mengikut pemutuan sebenar. Keadaan ini menyebabkan kos pengeluaran terus meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.






