RIYADH: Ketua pengurusan tapak paling suci dalam Islam pada Ahad mengecam serangan berulang menggunakan peluru berpandu balistik dan dron oleh kumpulan Houthi dari Yaman ke arah Mekah dan Madinah.

Presiden Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais turut memberi amaran bahawa keselamatan dan kesucian Dua Masjid Suci merupakan garisan merah yang tidak boleh dilanggar.

Beliau berkata, serangan berterusan itu mendedahkan pendekatan jenayah kumpulan berkenaan dan niat jahat mereka terhadap umat Islam dan tempat suci mereka.

Dalam kenyataan yang disiarkan oleh Saudi Press Agency milik kerajaan, Al-Sudais menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan nyata terhadap hukum syarak yang mewajibkan perlindungan tempat suci, selain mencemarkan norma kemanusiaan antarabangsa.