PETALING JAYA: Harimau Malaya kehilangan khidmat Faisal Halim bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa bulan depan selepas pemain sayap lincah itu terpaksa berehat tiga bulan berikutan kecederaan otot serius.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC (SFC), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pemulihan Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey menunjukkan perkembangan positif, namun pemain itu masih memerlukan masa sebelum kembali ke tahap kecergasan terbaik.
Menurutnya, kecederaan berkenaan membabitkan koyakan otot yang agak teruk dan memerlukan tempoh pemulihan rapi bagi mengelakkan risiko kecederaan berulang apabila kembali beraksi.
“Pemulihan beliau nampak positif, tetapi ototnya mengalami koyakan agak teruk. Saya fikir dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini, beliau boleh kembali menyertai pasukan dalam latihan dan perlawanan. Januari adalah tarikh paling selamat untuk beliau kembali,” katanya.









