MELAKA: Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan gabungan pengalaman penyandang, kemunculan lapan muka baharu dan kerjasama politik dengan PAS dalam usaha mempertahankan penguasaan di Melaka, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 14 November ini.
Pengumuman 21 calon BN oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kelmarin memperlihatkan perubahan ketara apabila lapan calon baharu diketengahkan, manakala tujuh lagi termasuk tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) tidak dicalonkan semula.
Bagaimanapun, persoalan utama bukan sekadar kemampuan BN memperkenalkan wajah baharu, sebaliknya sejauh mana perubahan itu mampu diterjemahkan kepada penerimaan pengundi, khususnya di kawasan yang mempunyai persaingan sengit serta rekod sokongan politik yang berubah-ubah.






