SEKALI lagi kita dikejutkan dengan laporan 'kebocoran' di pintu keluar negara susulan seorang lelaki warga China ditahan bersama dua kilogram kokain di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, Khamis lalu.
Menurut polis, suspek tiba di Hong Kong dari Pulau Pinang sebelum pemeriksaan menemukan dadah disyaki kokain dalam bagasi daftar masuknya lalu ditahan Jabatan Kastam dan Eksais Hong Kong pada 22 Oktober lalu.
Nampaknya, kebocoran pintu keluar negara bukan lagi isu kecil kerana jika seseorang boleh melepasi sistem imigresen tanpa dikesan, ia terus menimbulkan persoalan penting siapa yang gagal menjalankan tugas.
Sebelum ini, seorang pembantu juruterbang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas tiba dari Kuala Lumpur selepas pihak berkuasa Indonesia menemukan pil ekstasi seberat kira-kira 25.15 kilogram dan sejumlah kecil syabu dalam bagasinya.






