Perselisihan berterusan SUPP dan PDP dalam GPS, memberi peluang kepada DAP untuk meraih sokongan pengundi Cina pada PRN Sarawak akan datang dan menambah wakilnya dalam DUN.PETALING JAYA: Kawasan bandar yang majoriti pengundinya kaum Cina akan menjadi antara kerusi yang perlu diberi perhatian pada PRN Sarawak akan datang, ketika Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah berusaha mengekalkan semua 79 kerusi yang dimenanginya sebelum ini.
Bagaimanapun, perselisihan berterusan antara dua parti komponen GPS, ditambah dengan ketiadaan Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang kini telah dibubarkan, boleh meningkatkan peluang DAP untuk menambah jumlah dua kerusi yang dimenanginya pada 2021.
Penganalisis politik, Jayum Jawan daripada Akademi Sains Malaysia dan James Chin daripada Universiti Tasmania, berkata kerusi majoriti Cina sering menyaksikan persaingan sengit, sekali gus memberi peluang kepada parti pembangkang untuk mendapat kerusi di DUN.








