Keputusan kerajaan membenarkan pelarian berdaftar melalui Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) memasuki sektor pekerjaan formal secara bersyarat perlu dilihat secara rasional, tetapi menuntut kewaspadaan tinggi. Meskipun ia mempunyai justifikasi kemanusiaan dan ekonomi, kita mengingatkan kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu apabila penyelesaian bersifat sementara akhirnya menjadi masalah berpanjangan tanpa jalan keluar definitif.
Kita memahami rasional dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa peluang pekerjaan formal dapat mengelakkan pelarian terperangkap dalam ekonomi gelap, dieksploitasi sindiket atau bekerja secara haram. Malah, kemahiran dan pengalaman diperoleh boleh meningkatkan prospek penempatan ke negara ketiga melalui laluan pelengkap, selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap pengambilan pekerja asing baharu. Bagaimanapun, ia bukan penyelesaian muktamad, sebaliknya ibarat mengambil 'panadol' untuk meredakan kesakitan sementara, bukannya menyembuhkan penyakit. Persoalan lebih besar adalah sejauh mana kerajaan mampu memastikan status itu benar-benar sementara, bukan membuka laluan 'baharu' untuk mereka terus kekal di negara ini.








