LIVERPOOL: Pengendali Everton, David Moyes, menegaskan kelab itu mempunyai prinsip yang kukuh selepas Jack Grealish digugurkan daripada skuad kerana didakwa melanggar disiplin sebelum kemenangan 3-1 ke atas Newcastle United dalam aksi Piala Liga, awal pagi tadi.
Grealish dilaporkan tidak menghadiri sesi latihan sebelum perlawanan pusingan keempat itu, sekali gus menyebabkan pemain sayap pinjaman daripada Manchester City berkenaan tidak disenaraikan dalam skuad Everton di Stadium Hill Dickinson.
Pemain berusia 31 tahun itu sebelum ini turut terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal, Sabtu lalu, akibat sakit.
Moyes enggan mengulas lanjut mengenai ketiadaan Grealish ketika berdepan Newcastle, namun menyokong keputusan kelab untuk menggugurkan pemain itu.








