KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang mewajibkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk mendaftarkan keberadaan mereka melalui portal e-Konsular.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendaftaran menerusi e-Konsular ketika ini masih dilakukan secara sukarela dan kementerian belum mempertimbangkan untuk memohon kerajaan menjadikannya sebagai satu kewajipan.

“Belum ada lagi hasrat pihak kementerian untuk kita memohon daripada kerajaan untuk menjadikan ianya sebagai mandatori kepada rakyat Malaysia sama ada yang menetap di luar negara ataupun yang melancong ataupun pelajar.

“Belum sampai lagilah, kita belum pertimbangkan lagi,” katanya menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (Pas-Jerantut) di Dewan Rakyat hari ini.