Malaysia sedang dalam proses menghantar pulang 3,524 warganegara Myanmar. (Gambar KDN)

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini memberi amaran bahawa situasi pelarian di Malaysia merupakan 'bom jangka' yang boleh memburukkan masalah politik dan sosial jika kerajaan gagal bertindak dengan tegas dan adil.

Beliau berkata Malaysia atas dasar kemanusiaan telah menerima ratusan ribu pelarian, tetapi kini terpaksa menanggung beban yang tidak seimbang.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata Malaysia mempunyai kira-kira 130,000 pelarian Rohingya yang berdaftar secara rasmi, manakala jumlah tidak rasmi melebihi 200,000 orang.

Beliau membandingkannya dengan Indonesia, yang menurutnya mempunyai kurang daripada 2,600 pelarian Rohingya, Thailand yang menurutnya mempunyai kurang daripada 500 orang, dan India yang mempunyai kurang daripada 20,000 orang.