Malaysia sedang dalam proses menghantar pulang 3,524 warganegara Myanmar yang bermula sejak 29 Sept lalu. (Gambar KDN)

PUTRAJAYA: Penghantaran pulang pelarian Myanmar akan diteruskan selepas 5,000 individu yang dipersetujui kerajaan Myanmar untuk diterima pulang selesai dihantar, kata Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban.

Bercakap pada sidang media operasi khas di sini hari ini, Zakaria berkata setakat ini 1,476 individu telah dihantar pulang menerusi fasa pertama bulan lepas, manakala lebih 3,000 lagi masih berada di negara ini.

“Ini proses (penghantaran pulang) yang berterusan, bukan setakat 5,000 ini sahaja. Kita tidak ada tetapkan kuota. Kalau boleh kita nak semua balik.

“Berdasarkan rekod kad dikeluarkan UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), jumlah pelarian berdaftar dalam negara kini melebihi 200,000 orang dan dianggarkan hampir separuh daripada jumlah tersebut merupakan warga Myanmar,” katanya.