KUALA LUMPUR: Isu pelarian Rohingya ibarat 'bom jangka' yang meletup dari tahun ke tahun, jika tidak diselesaikan dengan tegas dan segera, boleh menjadi 'bom nuklear' yang mampu menggugat kestabilan politik serta sistem nilai moral negara.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar), menegaskan, Malaysia sejak sekian lama menunjukkan sikap berperikemanusiaan dengan menerima ratusan ribu pelarian daripada pelbagai konflik, termasuk dari Vietnam, yang akhirnya ditempatkan semula di negara maju.

Bagaimanapun katanya, keadaan itu tidak berulang bagi komuniti Rohingya, disebabkan janji pembahagian beban yang tidak ditepati negara jiran serta kuasa besar.

Beliau berkata, mengikut statistik rasmi, Malaysia menampung lebih 130,000 pelarian Rohingya, berbanding Indonesia yang merekodkan kurang 2,600 pelarian, Thailand (kurang 500) dan India (kurang 20,000).