BELANJAWAN 2027 menggariskan beberapa langkah berkaitan pemuliharaan alam sekitar, pengurusan risiko bencana, pembangunan tenaga, insentif teknologi hijau serta perlindungan sumber air dan ekosistem marin. Inisiatif ini mencerminkan hubungan yang semakin penting antara kelestarian alam sekitar, daya tahan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Persoalan utama bukan sekadar berapa banyak peruntukan diumumkan, tetapi sejauh mana pelaksanaannya mampu menghasilkan perubahan alam sekitar yang nyata dan boleh diukur.

Dalam menilai peruntukan berkaitan alam sekitar, penting untuk membezakan antara peruntukan kerajaan, pelaburan syarikat dan insentif fiskal. Ketiga-tiganya mempunyai mekanisme pelaksanaan serta implikasi ekonomi yang berbeza. Oleh itu, angka diumumkan tidak wajar dijumlahkan secara langsung seolah-olah semuanya ialah perbelanjaan kerajaan untuk tujuan sama.